Sekolah Menengah Kebangsaan Tiara Permai merupakan satu realisasi Projek Pembangunan Pendidikan RMK-10, Mukim Batu, Kuala Lumpur. Sekolah ini mula beroperasi dengan kemasukan murid pada 2 Julai 2018.

Latar Belakang

Pada peringkat awal sekolah ini dikenali sebagai SMK Mastiara. Projek SMK Mastiara terletak di Lot PT 26387, Jalan 2/18A, Mukim Batu. Kawasan seluas 3.1 ekar ini merangkumi satu blok bangunan pentadbiran 4 tingkat, satu blok bangunan dewan dan kantin (separa tanah) 2 tingkat, satu blok bangunan akademik dengan kapasiti 36 bilik darjah, 1 unit pencawang TNB, 2 unit pondok basikal, 1 unit pondok menunggu bas, 1 unit pondok pengawal, 1 unit rumah sampah dan kemudahan-kemudahan lain yang berkaitan. Nilai kontrak bagi pembinaan sekolah ini ialah RM 32,760,000.00. Kontraktor yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap projek ini ialah Nas Global Construction Sdn. Bhd.

Tarikh siap asal projek ini ialah pada 15 Julai 2016 berdasarkan pemilikan tapak asal pada 27 Februari 2015. Disebabkan beberapa isu yang timbul semasa proses pembinaan, maka tempoh lanjutan masa telah dipohon oleh pihak kontraktor bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut pindaan masa baharu. Berdasarkan tarikh lanjutan masa (E.O.T) yang telah diluluskan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), maka tarikh baharu (E.O.T 2) ialah pada 24 Januari 2017.

Sehingga 30 November 2016, status pelaksanaan sebenar projek ini telah mencapai 84 peratus, lewat 5 peratus (15 hari) berbanding jangkaan mengikut jadual iaitu 100 peratus. Sehingga tarikh tersebut juga, siri mesyuarat tapak yang telah dilaksanakan ialah sebanyak 20 kali.

Asal-usul Nama Sekolah

Penetapan nama sekolah amat penting kerana ia merupakan identiti sesebuah organisasi atau premis yang berada di bawah pentadbiran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur khususnya dan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia amnya.

Cadangan pertama nama sekolah ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Mastiara. Justifikasi pemilihan nama sekolah adalah berdasarkan nama Projek Pembangunan RMK-10 yang terkandung dalam kontrak asal pembinaan dan tapak tanah.

Cadangan kedua ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Mastiara. Pemilihan nama adalah sempena nama lokasi sekolah ini terletak di kawasan perumahan Taman Mastiara.

Cadangan ketiga ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Taman Metropolitan. Justifikasi pemilihan nama ini adalah berasaskan kepada nama jalan atau lokasi yang berhampiran dengan tapak pembinaan.

Cadangan nama keempat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Tiara Permai. Justifikasi pemilihan nama adalah sempena nama wilayah atau kawasan atau pekan. Selain itu, pemilihan nama sekolah adalah berdasarkan kedudukannya yang berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Tiara Permai.

Cadangan kelima ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Batu. Pemilihan nama adalah sempena nama asal kawasan dan cadangan daripada penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

Berdasarkan lima cadangan nama sekolah bagi Projek Pembangunan Pendidikan RMK-10, Mukim Batu Kuala Lumpur, Dato’ Hjh Fouziah Bt Buang, Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ketika itu telah bersetuju memilih nama Sekolah Menengah Kebangsaan Tiara Permai susulan kepada nama Sekolah Kebangsaan Tiara Permai.

Perjalanan Gerak Kerja Pembinaan Sekolah